Kemelut XPDC: Kenapa ianya REAL?
(Foto kredit: Harian Metro)
Penafian: Tulisan ini disusun se-objektif mungkin dan tidak memihak kepada mana-mana daripada tiga barisan yang menggunakan nama XPDC.
XPDC kini wujud dalam tiga versi, termasuk Real XPDC. Situasi ini telah melakar landskap konflik muzik yang unik di Malaysia, di mana elemen vokal dan tone instrumen bersaing merebut perhatian peminatnya. Tiga entiti ini menjelaskan bahawa kelangsungan legasi XPDC selepas ketiadaan Mael dan Ali bergantung pada beberapa elemen utama.
Pertama, nada vokal yang serasi atau terjemahan baru sebagai pengganti penyanyi asal. Kedua, tone signature dan solo gitar yang mantap. Ketiga, lakaran bass yang memberikan nafas dan nyawa kepada muzik XPDC.
Penyelidikan neuroimaging mendedahkan bahawa apabila kita berulang kali mendengar suara vokal, dalam kes ini, Mael, otak kita akan membina satu templat khusus dalam sistem pendengaran (auditory cortex). Dengan templat ini, otak kita dapat mengecam suara tersebut secara serta merta.
Jadi, apabila penyanyi Real XPDC menyanyikan lagu XPDC dengan mengekalkan atau menyerupai vokal Mael, sistem neuron pendengar yang telah ditemplatkan tadi akan segera diaktifkan. Keaktifan ini memberikan ilusi bahawa Mael sendiri sedang menyanyikan lagu-lagu XPDC di atas pentas.
Sebaliknya, dua entiti XPDC yang lain menampilkan vokalis dengan gaya yang berbeza daripada cara bawaan Mael. Mereka menyuntik variasi dan lenggok baharu kepada lagu-lagu klasik XPDC, sekali gus menawarkan cara yang baru dan segar untuk menikmati sentuhan Mael.
Selain dari sistem otak kita, memori yang penuh emosi juga memainkan peranan yang sangat penting. Ada satu gumpalan kecil protein, berbentuk almond dan terletak di bahagian temporal lobe pada otak kita yang bernama amygdala.
Amygdala ini memainkan peranan menyimpan momen emosi yang sangat peribadi. Contohnya, konsert pertama bersama Mael, peristiwa penting dalam hidup di mana lagu-lagu Mael menjadi peneman setia, atau detik pertama kita mendengar lagu XPDC melalui kaset yang dibeli.
Setiap pengalaman seperti ini terus dipeluk dalam ingatan dan dizahirkan apabila munculnya jelmaan seperti Mael. Bagi mereka, mendengar vokal yang sangat dikenali, menghampiri kepada vokal Mael adalah pencetus memori yang penuh emosi sehinggakan mengalirkan air mata.
Di pihak sebelah pula roh XPDC adalah lebih penting dengan kehadiran anggota asal. Riffs autentik gitaris Izo ataupun petikan bass Zuar menjadi pengikat, menjadi lebih erat, apatah lagi mereka berdua masih hidup dan boleh dilihat depan mata.
Hubungan parasosial, iaitu satu hubungan satu hala peminat kepada idola (dalam kes ini, peminat-Mael) adalah kritikal. Hubungan parasosial ini menyatakan bahawa, peminat merasakan mereka mengenali Mael, bahkan rapat, walaupun Mael sendiri tidak mengenali secara rapat siapakah peminatnya itu.
Hubungan satu hala ini membuatkan peminat berasa seolah-olah mereka benar-benar mengenali Mael. Mereka menyerap setiap gerak geri daripada cara senyum, intonasi suara, gaya badan, malah cara bercakap, seolah-olah Mael duduk di sebelah mereka.
Sensasi keakraban maya inilah yang mengekalkan ikatan emosi walaupun ia hanya wujud di dalam minda. Semua ini adalah hasil dari bertahun-tahun meminati Mael dan menwujudkan ilusi bahawa mereka “memiliki” Mael. Untuk peminat Real XPDC, penyanyinya menjadi titik penting untuk mewujudkan kembali hubungan parasosial ini.
Sebaliknya, hubungan parasosial bagi kem sebelah pula berasaskan keaslian ahli band asal dan lengguk instrumen mereka. Peminatnya setia kerana kehadiran Izo di gitar dan Zuar di bass mengekalkan identiti muzik XPDC. Mereka tidak terlalu bergantung kepada ketulenan nada dan tone vokalis untuk merasai ‘jiwa’ kumpulan itu.
Sebenarnya, kes sebegini bukanlah unik di Malaysia tetapi sudah berlaku sebelum ini di luar negara.
Kita ambil kisah band Queensrÿche yang berpecah dua (2012-2014), satu versi penyanyi asal Geoff Tate lantas dinamakan Geoff Tate’s Queensrÿche yang mengekalkan gaya vokal Tate yang sangat dikenali oleh peminatnya. Kem sebelah pula, Wilton-La Torre, menggunakan nama Queesnryche asal, mengekalkan lenggok permainan intrumen muzik autentik. Tiada siapa yang mahu mendengar solo gitar atau stroke drum yang berlainan dari memori, kan?
Peminat berpusu-pusu menghadiri persembahan Tate untuk mendapatkan nostalgia vokalisnya sementara yang lain pergi kepada kem yang lagi satu untuk ketulenan permainan instrumennya.
Juga berlaku kepada band Great White pada tahun 2010 ketika penyanyi asalnya, Jack Russell mengalami masalah kesihatan yang kemudiannya dibuang dari band. Jack Russell’s Great White pun diwujudkan selepas itu, main di kelab-kelab kecil sementara pemain gitarnya, Mike Kendall meneruskan Great White tanpa Russell, membawa nama rasmi, juga mendapat perhatian daripada peminat yang masih mahu mendengar muzik, solo gitar autentik dan pada masa yang sama boleh berlebih kurang dengan penyanyi gantian.
Ini sudah cukup untuk menjelaskan kepada kita bahawa peminat boleh sahaja terbahagi kepada beberapa bahagian, mengikut apa yang penting kepada mereka samada kemiripan vokal ataupun ketulenan tone instrumen.
Namun kedua-dua band Queensrÿche dan Great White sudah menyelesaikan kemelut ini. Mahkamah menyelesaikan kes Queensrÿche pada April 2014 yang mana kem Wilton-La Torre diberi hak untuk menggunakan nama trademark Queensrysche sementara Tate melepaskan tuntutan beliau dan terpaksa berpuashati dengan nama Operation: Mindcrime (iaitu nama album ketiga Queensrÿche).
Sebelumnya, pada bulan Mac 2012, Russell menyaman kem sebelah dan diselesaikan dengan gencatan senjata iaitu Jack Russell’s Great White dan juga Great White boleh meneruskan aktiviti mereka secara aman. Ini memberi penjelasan yang transparen kepada promoter untuk menguruskan persembahan pentas dan peminat untuk menghadirinya, ikut citarasa masing-masing.
Apa susah, pergi la semua show yang ada nama XPDC. Semua variasi boleh telan. Kata Wak Dojer sambil menyumbat roti canai banjir dal ke dalam mulut. Kata dia bukan kata saya.
Buat masa ini, XPDC Zuar sangat aktif dengan rekod 51 show pada tahun 2024. XPDC Izo pula dengar cerita sudah mula merakamkan album baru dan bakal memberikan persembahan di ruang prestij, Zepp pada 8 November 2025. Real XPDC dengan vokalis mirip Mael, masih terkial-kial di festival makanan kecil tetapi sedikit demi sedikit membina momentum yang mungkin akan melonjak tinggi. Mungkin.
Namun, bab settlement ini, kita masih menanti. Samada ia akan menjadi penamat atau pemula kepada konflik yang baharu, kita pun tak tahu. Siapa yang nak menyaman, siapa yang disaman? Siapa yang menang, siapa yang kecundang? Paling penting, siapa yang untung dan siapa yang rugi di hujungnya?

Tiada ulasan:
Catat Ulasan