Ya saya pun sangka macam tu. Rupa-rupanya tidak.
Bahkan, identiti sebenar Langsuir ialah Langsuir itu sendiri. Dengan kata lain, sesiapa sahaja yang berada bersama Langsuir pada sesuatu ketika, merekalah Langsuir. Ini kerana Langsuir sudah mempunyai identiti, imej, falsafah dan metod yang tersendiri, yang boleh dikenali oleh para pendengar dan peminat. Mereka yang menyertai Langsuir akan terpaksa menyerap semua ini sehingga akhirnya bergerak sebagai satu unit yang padu.
Mereka yang keluar daripada Langsuir, termasuk saya sendiri sepanjang tempoh 2008 hingga 2017, tidak membawa keluar identiti, imej, falsafah dan metod tersebut. Walaupun semua itu saya sendiri yang membinanya dari kosong melalui lagu, lirik, konsep dan hala tuju band ini, hakikatnya ia telah menjadi milik Langsuir, bukan lagi milik individu.
Sebab itu apabila berada di luar Langsuir, apa sahaja yang dihasilkan pasti akan bergerak ke arah yang berbeza. Malah terasa janggal untuk mencipta sebuah projek lain yang mempunyai identiti yang sama seperti Langsuir. Hendak memainkan lagu-lagu lama Langsuir pun timbul persoalan, yang mana satu? Hampir keseluruhan katalog tersebut lahir daripada identiti Batara Guru/Bentara yang dibangunkan khusus untuk Langsuir. Ia tidak pernah direka untuk wujud di tempat lain.
Mereka yang bersama Langsuir hari ini pada asasnya hanya meneruskan apa yang telah dibina sejak sekian lama. Namun "meneruskan" tidak bermaksud sekadar mengulangi perkara lama. Malah, dalam beberapa tahun kebelakangan ini kami telah melakukan pelbagai perkara yang tidak pernah dibuat sepanjang sejarah Langsuir. Antaranya menghasilkan dokumentari perjalanan band, menerbitkan video muzik selepas hampir dua dekad, menjalankan siri jelajah yang lebih tersusun, memperkemaskan dokumentasi dan arkib, membangunkan identiti visual yang lebih konsisten, memperluaskan promosi ke luar negara, menghasilkan Electronic Press Kit (EPK), mengadakan sesi soal jawab bersama peminat, membina rangkaian media antarabangsa, serta merancang hala tuju jangka panjang yang lebih sistematik sehingga beberapa tahun akan datang.
Sehinggalah tiba masanya ada antara kami yang tidak lagi mampu memberikan komitmen, tidak lagi sehaluan atau tidak lagi bersetuju dengan hala tuju yang dipilih. Dalam keadaan seperti itu, mereka bebas mengundurkan diri ataupun dikeluarkan.
Bagi sesetengah band, keadaan seperti ini biasanya menjadi penamat. Band dibubarkan, buku ditutup, khalas.
Tetapi itu bukan metod Langsuir. Langsuir masih diteruskan. Walaupun pergolakan dalaman mengalahkan keadaan politik negara.
Saya minta maaf kepada mereka yang mengharapkan Langsuir terkubur kerana perkara itu tidak akan berlaku, sekurang-kurangnya buat masa ini. Jika perasaan, jiwa atau fikiran terasa terganggu melihat Langsuir terus bergerak, saya minta maaf sekali lagi. The world does not revolve around you. Banyak lagi perkara yang lebih penting untuk anda fikir dan usaha daripada memikirkan kewujudan sebuah band seperti Langsuir. Maka hadapilah hakikat semua ini dengan tenang dan sabar.
Semangat, idea dan sokongan untuk meneruskan Langsuir masih membuak-buak. Malah, perancangan telah pun disusun sehingga tahun 2030. Itu tidak bermaksud Langsuir akan kekal selama-lamanya. Setiap permulaan pasti ada pengakhirannya. Cuma, masanya belum tiba.
Selebihnya saya serahkan kepada takdir. Kita hanya mampu merancang.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan