Mengesan Makna Melalui Langsuir
Ayat yang dikutip dari Man's Search for Meaning karya Viktor Frankl ini menyebabkan saya termenung lama.
“Makna kewujudan kita bukan dicipta, tetapi dikesan.”
Berulang-ulang dibaca dan cuba difahami dan apa yang tiba-tiba muncul ialah kaitannya kepada perjalanan hidup saya bersama Langsuir.
Apabila saya memulakan band ini lebih 30 tahun lalu, saya tidak mengejar suatu visi besar tentang kejayaan. Tiada pelan tindakan untuk sebuah band death metal dari Malaysia, apatah lagi sebuah band yang akhirnya meneroka mistik Melayu, sejarah dan identiti melalui muzik ekstrem. Ye, apalah sangat yang diharap dari remaja yang berumur 16 tahun ketika itu?
Seperti ramai pemuzik underground lain, ada ketika saya benar-benar terfikir untuk berhenti. Bukan sekali dua bahkan berkali-kali. Bahkan, saya pernah keluar dari Langsuir pun dalam keadaan yang sangat mendesak (kerana menyiapkan tesis PhD).
Sebab yang biasa; realiti kewangan, komitmen bertimpa-timpa dan penat lelah yang perlu dilaburkan. Kemudian timbul perasaan bahawa selepas bertahun-tahun mencurahkan usaha, kemajuan yang dicapai tidak selalu setimpal dengan apa yang telah diberikan.
Namun ada sesuatu yang sentiasa menarik saya kembali bangun.
Ia adalah kesedaran bahawa Langsuir telah menjadi sebahagian daripada hidup saya yang bermakna. Muzik ini membentuk diri saya sama seperti saya membentuknya. Ia memberi ruang untuk saya meneroka idea, budaya, kerohanian dan identiti dengan cara yang sukar saya temui di tempat lain. Lebih penting daripada itu, saya tahu ada pendengar yang turut menemukan sesuatu yang bernilai melalui perjalanan ini.
Satu lagi kesedaran muncul. Jika saya berhenti, siapa yang akan meneruskan laluan ini mengikut acuan yang telah ditetapkan?
Sebab itu saya sudah tidak peduli yang lain. Umpama sungai harus mengalir dan jika ada halangan yang menyebabkan air terhalang dari mengalir, halangan tersebut harus dialihkan.
Death metal Melayu masih merupakan niche dalam sebuah niche. Tema-tema yang diterokai oleh Langsuir bukanlah sesuatu yang lazim ditemui dalam muzik ekstrem, hatta di rantau kita sendiri. Saya mula memahami bahawa ini bukan lagi sekadar sebuah projek yang didorong oleh minat peribadi.
Pada orang lain, ia mungkin adalah sebuah projek; ada projek besar, ada projek kecil etc. Mungkin juga ini sekadar satu fasa kehidupan berhibur dan menghabiskan masa lapang.
Pada saya, ia telah menjadi satu tanggungjawab.
Nak sebut tanggungjawab ni berat sebenarnya, tetapi nampaknya seolah-olah begitu.
Dan mungkin inilah yang dimaksudkan oleh Frankl apabila beliau menulis bahawa makna bukan DICIPTA, tetapi DIKESAN.
Saya tidak pernah duduk dan memutuskan suatu hari nanti bahawa Langsuir akan menjadi sebuah misi. Kefahaman itu muncul secara beransur-ansur melalui tahun-tahun yang dipenuhi ketekunan, kegagalan, cabaran, perkembangan dan renungan. Makna itu sebenarnya sudah ada lama. Saya hanya mula menyedarinya.
Apabila saya melihat ke belakang, saya tidak fikir Langsuir bertahan kerana kejayaan. Jika kejayaan menjadi bahan bakarnya, perjalanan ini mungkin sudah lama berakhir.
Langsuir bertahan kerana setiap kali saya terfikir untuk berhenti, saya diingatkan bahawa ada perkara-perkara yang wajar diteruskan tanpa mengira apa hasil akhirnya.
Minat dan tujuan itu masih ada. Dan kerja yang belum selesai itu masih menunggu. Mungkin itulah pelajaran sebenar yang saya ambil daripada Frankl.
Kita sering menghabiskan hidup dengan bertanya apakah yang kita mahu daripada perkara yang kita lakukan. Mungkin soalan yang lebih baik ialah:
Apakah yang sedang dituntut daripada diri kita?
Walaupun ianya hanya "sekadar" sebuah band underground. Selama lebih tiga dekad, itulah makna "sekadar" bagi saya.