Menggalakkan makan tumbuhan (plants) untuk kesihatan. Mengurangkan makan haiwan (animals). Sambil-sambil tu, minat muzik metal keras. Dan juga seorang Melayu Muslim. *Semua masakan adalah dimasak oleh isteri saya (saya tukang pos ke blog sahaja hehe). Ke arah mati umur 60-70 tahun sebab tua bukan mati 40-60 tahun sebab sakit jantung, kencing manis, darah tinggi dan kanser.

Jumaat, 29 Ogos 2025

TANDUS Match With The Best, Die Like The Rest

 


TANDUS Match With The Best, Die Like The Rest 

Kita akan perasan bila dengar lagu Tandus ini (link di komen), ada riffs yang beri penghormatan (homage) kepada lagu ATHOTORGH Promaster Dieyana pada awal track dan SAXO Satu Perjuangan sebelum masuk gitar solo.

Riffs penghormatan sebegini adalah biasa. Kadang-kadang kita terdengar, eh, ini riffs macam pernah dengar. Bila kita semak, memang benar. Terpulang kepada band tersebut untuk memberi kredit atau tidak.

Cuba dengar lagu TIAMAT The Pentagram. Cuba teka, keseluruhan lagu ini adalah homage kepada band apa?

Tetapi ini bukanlah maksud saya menulis. Saya bermaksud untuk menulis tentang band Tandus sebagai rakan seperjuangan.

Tandus telah merilis ep Logam Maut (1997), menyumbang 3 lagu untuk kompilasi Ultra Violence (2000) - kedua-duanya di bawah Ultra Hingax Production dan akhirnya merilis album Skuad Pemusnah (2020) di bawah pengurusan Muzik Box Productions (arwah Fadzil).

Saya berkesempatan berbual dengan Acun (Nasrulhadi Ses) ketika siri jelajah Langsuir – Melayu-Mystic Peninsular Tour 2025 – pada 12 Julai 2025. Dahulunya beliau adalah pemain bass sekarang menggalas tugas bass + vokal. Original member yang masih kekal dari 1991 sehingga kini. Dari 5-piece, tinggal 3-piece.

Terserempak dengan original vokalis, Greye di tangga tempat kejadian sebelum persembahan Tandus namun tidak dapat berbual lama kerana beliau nampak tergesa-gesa.

Apa yang diluahkan oleh Acun adalah antara intipati kenapa band underground susah nak kekal. Masalah line-up yang keluar masuk.

Bukan salah line-up pun tetapi mangsa keadaan. Semuanya berlegar kepada masalah komitmen. 

Band bermula ketika muda remaja, tiada kekangan. Celik pejam semuanya adalah untuk band.

Namun apabila meningkat umur, tanggungjawab pun meningkat. Main band yang dahulunya jadi keutamaan, kini menjadi kenangan. Tidak lagi boleh diberi masa, tenaga dan harta.

Sememangnya, buat dan menggerakkan band adalah kerja sukar.

Kami bersembang lama. Saya sekadar beri kata semangat. Saya menyediakan telinga untuk mendengar dan hati untuk memahami. Kami sudah kenal lama semenjak saya belajar di UTM 1993-98. Tandus dan Langsuir dilahirkan pada tahun yang sama, 1991. 

Ternyata malam itu adalah malam Tandus. Ramai yang merindui dan bersemangat kembali dan sama-sama menyanyikan bait lirik Match With The Best, Die Like The Rest yang berpuaka ini.

Semoga Acun dan Tandus dapat bangkit kembali. Berilah sokongan dan kata semangat untuk mereka. Mulakan ini dengan mendengar Match With The Best, Die Like The Rest.

Dr Ibrisam Akbar

* Match With The Best, Die Like The Rest adalah lagu dalam kompilasi Panggilan Pulau Puaka II (1999) keluaran Psychic Scream Entertainment.

** Saya nampak banyak band baru yang ditubuhkan. Mereka pasti akan melalui cabaran yang sama dihadapi oleh band yang sudah ditubuhkan lebih dari 30 tahun. Apakah penghujung mereka? Bak kata TANDUS Match With Best Die Like The Rest!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan