Menggalakkan makan tumbuhan (plants) untuk kesihatan. Mengurangkan makan haiwan (animals). Sambil-sambil tu, minat muzik metal keras. Dan juga seorang Melayu Muslim. *Semua masakan adalah dimasak oleh isteri saya (saya tukang pos ke blog sahaja hehe). Ke arah mati umur 60-70 tahun sebab tua bukan mati 40-60 tahun sebab sakit jantung, kencing manis, darah tinggi dan kanser.

Ahad, 14 Jun 2026

Identiti Langsuir


Ya saya pun sangka macam tu. Rupa-rupanya tidak.

Bahkan, identiti sebenar Langsuir ialah Langsuir itu sendiri. Dengan kata lain, sesiapa sahaja yang berada bersama Langsuir pada sesuatu ketika, merekalah Langsuir. Ini kerana Langsuir sudah mempunyai identiti, imej, falsafah dan metod yang tersendiri, yang boleh dikenali oleh para pendengar dan peminat. Mereka yang menyertai Langsuir akan terpaksa menyerap semua ini sehingga akhirnya bergerak sebagai satu unit yang padu.

Mereka yang keluar daripada Langsuir, termasuk saya sendiri sepanjang tempoh 2008 hingga 2017, tidak membawa keluar identiti, imej, falsafah dan metod tersebut. Walaupun semua itu saya sendiri yang membinanya dari kosong melalui lagu, lirik, konsep dan hala tuju band ini, hakikatnya ia telah menjadi milik Langsuir, bukan lagi milik individu.

Sebab itu apabila berada di luar Langsuir, apa sahaja yang dihasilkan pasti akan bergerak ke arah yang berbeza. Malah terasa janggal untuk mencipta sebuah projek lain yang mempunyai identiti yang sama seperti Langsuir. Hendak memainkan lagu-lagu lama Langsuir pun timbul persoalan, yang mana satu? Hampir keseluruhan katalog tersebut lahir daripada identiti Batara Guru/Bentara yang dibangunkan khusus untuk Langsuir. Ia tidak pernah direka untuk wujud di tempat lain.

Mereka yang bersama Langsuir hari ini pada asasnya hanya meneruskan apa yang telah dibina sejak sekian lama. Namun "meneruskan" tidak bermaksud sekadar mengulangi perkara lama. Malah, dalam beberapa tahun kebelakangan ini kami telah melakukan pelbagai perkara yang tidak pernah dibuat sepanjang sejarah Langsuir. Antaranya menghasilkan dokumentari perjalanan band, menerbitkan video muzik selepas hampir dua dekad, menjalankan siri jelajah yang lebih tersusun, memperkemaskan dokumentasi dan arkib, membangunkan identiti visual yang lebih konsisten, memperluaskan promosi ke luar negara, menghasilkan Electronic Press Kit (EPK), mengadakan sesi soal jawab bersama peminat, membina rangkaian media antarabangsa, serta merancang hala tuju jangka panjang yang lebih sistematik sehingga beberapa tahun akan datang.

Sehinggalah tiba masanya ada antara kami yang tidak lagi mampu memberikan komitmen, tidak lagi sehaluan atau tidak lagi bersetuju dengan hala tuju yang dipilih. Dalam keadaan seperti itu, mereka bebas mengundurkan diri ataupun dikeluarkan.

Bagi sesetengah band, keadaan seperti ini biasanya menjadi penamat. Band dibubarkan, buku ditutup, khalas.

Tetapi itu bukan metod Langsuir. Langsuir masih diteruskan. Walaupun pergolakan dalaman mengalahkan keadaan politik negara.

Saya minta maaf kepada mereka yang mengharapkan Langsuir terkubur kerana perkara itu tidak akan berlaku, sekurang-kurangnya buat masa ini. Jika perasaan, jiwa atau fikiran terasa terganggu melihat Langsuir terus bergerak, saya minta maaf sekali lagi. The world does not revolve around you. Banyak lagi perkara yang lebih penting untuk anda fikir dan usaha daripada memikirkan kewujudan sebuah band seperti Langsuir. Maka hadapilah hakikat semua ini dengan tenang dan sabar.

Semangat, idea dan sokongan untuk meneruskan Langsuir masih membuak-buak. Malah, perancangan telah pun disusun sehingga tahun 2030. Itu tidak bermaksud Langsuir akan kekal selama-lamanya. Setiap permulaan pasti ada pengakhirannya. Cuma, masanya belum tiba.

Selebihnya saya serahkan kepada takdir. Kita hanya mampu merancang. 

Jumaat, 12 Jun 2026

Buku Introduction to Philosophy sudah masuk mukasurat 247 dari 545

 


Buku Introduction to Philosophy sudah masuk mukasurat 247 dari 545. Buku ini memang seronok dibaca. Memudahkan orang yang nak faham falsafah.

Setakat ini sudah melepasi falsafah timur jauh (Buddhism, Lao Tzu, Confucius), Yunani (Sophist, Socrates, Plato, Aristotle), Stoic (Epictetus, Marcus Aurelius) dan Scholastic (Augustine, Thomas Aquinas).

Sekarang masuk ke zaman Enlightenment (Rene Descartes, David Hume, Immanuel Kant ke atas). dan seterusnya berakhir ke abad ke-20 ( Ludwig Wittgenstein & Martin Heidegger).

Nama pun buku teks, maka ia ditulis dengan ayat mudah dengan penjelasan yang jelas. Nak baca sumber primer, mungkin tak sempat, sebab bukan nak jadi ahli falsafah pun, sekadar celup-celup sikit je.

Imam Ghazali dah bagi amaran - jangan jatuh dalam lubang arnab (rabbit hole) kefalsafahan kerana ia sekali-kali tidak akan menaikkan darjat anda sebaliknya carilah ilmu hakikat dan makrifatullah melalui penyucian hati.

Tapi tarikan falsafah ini sangat menggiurkan. Memahaminya seolah-olah membuka sedikit hijab dunia yang sedang bergolak dengan pelbagai dakyah dan nista yang banyak diambil dari ahli falsafah ini. 

Pengulas album (Bahagian 2)

 Pengulas album (Bahagian 2)

Pengulas yang honest, juga mudah terperangkap dalam kontroversi disebabkan ulasannya yang jujur.

Lebih-lebih lagi dalam scene underground Malaysia yang kecil. Band yang diulas itu mungkin pernah satu pentas dengan pengulas. Mungkin pernah lepak semeja. Mungkin pernah berurusan jual beli kaset dan cd. Mungkin juga kawan yang sudah dikenali berpuluh tahun. 

Paling parah, yang mengulas tu juga main band haha... Naya.

Jadi masalah apabila pengulas memberikan ulasan yang kurang memberangsangkan terhadap sesuatu rilisan. Negara kecil je, bila-bila masa boleh bertembung bahu. Disebabkan itu, ada pengulas yang memilih untuk tidak mengulas langsung sesuatu album jika dia merasakan ulasannya akan mengundang salah faham atau menjejaskan hubungan yang sudah lama terjalin.

Pada zaman zine dahulu, jika seseorang tidak bersetuju dengan sesuatu ulasan, perkara itu biasanya terhenti setakat perbualan sesama kawan atau surat pembaca dalam keluaran berikutnya.

Sekarang dah ada socmed.

Band boleh memberi respon serta-merta. Kawan-kawan band boleh masuk campur. Peminat juga boleh menyuarakan pendapat mereka pada hari yang sama. Boleh jadi viral.

Bila jadi viral selalunya perbincangan sudah tidak tentang album itu secara objektif tetapi sudah jadi emosional.

Jalan keluar ialah jika album itu bagus, mereka akan menulis mengenainya. Jika album itu tidak menepati citarasa mereka, mereka memilih untuk berdiam diri.

Kurang risiko. Kurang kontroversi. Kurang kemungkinan untuk bermasam muka di kemudian hari.

Tetapi dalam masa yang sama, peminat juga kehilangan satu perkara yang dahulunya sangat bernilai dalam budaya zine, iaitu pandangan yang benar-benar jujur daripada seorang pendengar kepada seorang pendengar yang lain. Juga band tidak tahu samada memang benar album itu bagus atau tidak kerana apa yang nampak, tiada kritikan langsung. Band pun tak tau mana nak improve sebab tiada feedback membina.

bersambung...