Menggalakkan makan tumbuhan (plants) untuk kesihatan. Mengurangkan makan haiwan (animals). Sambil-sambil tu, minat muzik metal keras. Dan juga seorang Melayu Muslim. *Semua masakan adalah dimasak oleh isteri saya (saya tukang pos ke blog sahaja hehe). Ke arah mati umur 60-70 tahun sebab tua bukan mati 40-60 tahun sebab sakit jantung, kencing manis, darah tinggi dan kanser.

Rabu, 19 November 2025

Studying Philosophy Does Make People Better Thinkers

 Kredit Fathi Aris Omar

Empat bulan lalu (11 Julai 2025), penerbit Universiti Cambridge siar satu makalah berjudul "Studying Philosophy Does Make People Better Thinkers". 

Baca elok-elok: belajar falsafah memang bantu kita berfikir lebih baik. Jadi silaplah mereka yang pandang rendah, curiga atau was-was soal ini. 

Pada bahagian awal makalah itu, pengarangnya Michael Vazquez dan Michael Prinzing menulis: 

"Menggunakan set data yang besar (termasuk rekod daripada lebih setengah juta pelajar sarjana muda di ratusan institusi di seluruh Amerika Syarikat), kami meneliti pencapaian pelajar falsafah dalam ujian penaakulan verbal dan logik, serta ukuran pembawaan intelektual yang bernilai. 

"Hasil kajian menunjukkan bahawa pelajar yang mempunyai keupayaan verbal yang lebih tinggi, serta lebih ingin tahu, berfikiran terbuka, dan teliti secara intelektual, lebih cenderung untuk mempelajari falsafah. 

"Bagaimanapun, selepas mengambil kira perbezaan asas tersebut, pelajar jurusan falsafah mengatasi semua jurusan lain dalam ujian penaakulan verbal dan logik serta dalam ukuran tabiat pemikiran yang bernilai. 

"Hal ini memberikan bukti paling kukuh setakat ini bahawa mempelajari falsafah sememangnya menjadikan seseorang pemikir yang lebih baik."

Jadi ingat, ya, 1. belajar falsafah itu bagus, dan 2. mendalami jurusan falsafah lebih bagus. Maka, jika mahu bijak dan berfikir teliti, sekurang-kurangnya ambil langkah 1. belajar falsafah

** ** ** ** 

Esok dunia menyambut Hari Falsafah, ulang tahun setiap Khamis minggu ketiga pada November. Buat peminat buku dan isu filsafat, ada beberapa rujukan asas yang menarik sebagai permulaan. 

1. The Story of Philosophy (1998) — Bryan Magee

Buku sejarah idea ini diterjemah dengan judul Cetera Falsafah tahun lepas. Ia dipenuhi gambar, data dan grafik menarik sehingga membacanya menjadi sungguh mudah dan asyik. 

Ia diterbitkan oleh Buku IBDE dengan bantuan dana kerajaan negeri bawah projek Siri Pencerahan Selangor. 

2. A History of Islamic Philosophy (1983) — Majid Fakhry

Buku ini pernah diterjemah oleh DBP dengan judul Sejarah Falsafah Islam (1989). Ia dijadikan rujukan ketika saya mengambil subjek filsafat sains Islam di Institut Teknologi Mara (1991). Mudah dan menarik. Cukup mencerahkan.

3. A History of Western Philosophy (1945) — Bertrand Russell  

Sewaktu sarjana ini dianugerah Hadiah Nobel, karya berkenaan disebut sebagai satu sumbangan kesasteraan beliau yang penting. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menterjemahnya dengan judul Sejarah Falsafah Barat (1993).

4. Sophie's World (1991) — Jostein Gaarder

Novel remaja mengenai falsafah ini cukup popular di serata dunia, seperti karya klasik cara membaca buku How to Read a Book (1972) karangan Mortimer J Adler dan Charles Van Doren.  

Lebih 40 juta naskhah Sophie's World dijual dalam hampir 60 bahasa! Di Malaysia, terjemahannya berjudul Dunia Sophie diterbit pada 2006. Cukup bagus untuk remaja atau siswa berjinak-jinak dengan falsafah secara lebih santai.

Buat mereka yang mahu mendekati falsafah utama dunia, tidak termasuk tamadun China atau India, empat buku ini pasti mampu memudahkan serta memadatkan pembacaan. Cuba!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan