Cover artwork LANGSUIR Fitan
Setakat ini semua cover artwork Langsuir adalah hasil kerja tangan manusia, samada atas kertas ataupun digital. AI belum lagi, sekurang-kurangnya buat masa ini.
Kami tidak menolak AI cuma meletakkan AI pada tempatnya.
Mungkin sebab teknologi AI tak sampai tahap lagi tetapi yang lebih penting ialah, kehilangan interaksi antara band dengan pelukis dalam menghasilkan artwork tersebut. Kedua-dua pihak mendapat manfaat zahir dan batin.
Dengan AI, prompt dan siap. Sebaik mana prompt kita, sebaik itulah hasilnya. Lebih kurang, one-man show.
Ya, harga lukisan mahal. AI kalau berbayar pun, tidak semahal pelukis. Tetapi puashatinya tidak ternilai sebab jauh di sudut hati, ini adalah hasil tangan seorang pelukis, manusia yang berperasaan dan bertanggungjawab. Ada attachment.
Mudah faham untuk mereka yang merasa CD fizikal itu penting berbanding dengan streaming semata.
Untuk menghasilkan artwork Fitan ini, sekurang-kurang dua lukisan terdahulu telah dihasilkan (dan dibayar). Namun kedua-duanya belum dapat memuaskan hati saya. Sehinggalah terjumpa lukisan ini. Sekali pandang, terus jatuh hati. Sesuai sangat dengan tajuk dan konsep Fitan.
Berbeza dengan dua lukisan sebelumnya yang bermula dengan perbincangan antara saya dan pelukis dan mengambil masa berbulan-bulan bermula dari kertas kosong tetapi lukisan ini sudah lama dilukis. Bahkan sudah lama cuba dijual cuma tidak berjumpa dengan pembeli.
Hinggalah saya menjumpainya.
Harganya? Empat digit. Mahal ke murah tu, sebagai band underground?
Harga ini bukan hak milik keseluruhan lukisan. Hanya membeli lesen untuk kegunaan Fitan dan berkaitan sahaja. Untuk membeli keseluruhan rights, dua kali ganda harganya.
Namun hati saya tidak tenang andai lukisan lain menjadi cover Fitan. Saya cuba melupakannya dan mencari alternatif lain yang lebih mesra poket. Namun tidak berjumpa.
Makin cuba dilupa makin resah hati.
Kalau tiba-tiba terjual bagaimana? Mana nak cari ganti? Apakah penyesalan yang bakal menanti?
Terima kasih Goatlordth Records kerana merealisasikan visi dan misi Langsuir. Kami tahu, anda telah banyak berkorban untuk kami. Jasa anda dikenang.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan