Ilmu: Plato vs Al-Attas.
Ambil kesempatan di waktu pagi di Genting Highlands baca buku sementara menunggu ahli keluarga bersedia nak meroti canai di bawah.
Sampai di penghujung bab Plato dan ini terus membawa saya kepada Prof Naquib.
Definisi ilmu Syed Muhammad Naquib al-Attas:
"Ilmu ialah ketibaan sesuatu makna, hasil daripada maklumat yang benar ke dalam diri seseorang."
Walaupun dipisahkan oleh lebih dua ribu tahun, kedua-dua tokoh ini sebenarnya berkongsi satu kritikan yang sama terhadap cara moden memahami ilmu.
Sekarang ni ilmu sering disamakan dengan maklumat. Lebih banyak fakta yang kita tahu, lebih berilmu orang itu. Tidak pada Plato dan Al-Attas.
Bagi Plato, ilmu ialah memahami realiti yang sebenar dan tidak berubah. Bagi Al-Attas pula, maklumat hanya menjadi ilmu apabila makna tiba ke dalam jiwa.
Ringkasnya, kedua-duanya bersetuju bahawa ilmu adalah lebih daripada data, fakta atau maklumat yang disimpan dalam memori.
Perhatikan perbezaan ini;
a. Definisi ilmu moden menjawab persoalan apa.
b. Definisi ilmu Plato & Al-Attas menjawab persoalan apakah maknanya.
Sekarang ini maklumat semua di hujung jari. Semua orang boleh pendapat dengan ilmu secara zahirnya tetapi tidak semestinya ia bersama dengan maknanya.
Untuk mengujinya, kita boleh gunakan dialektik Socrates.
Cabaran terbesar zaman ini bukanlah kekurangan maklumat. Sebaliknya, kita sedang berhadapan dengan lambakan maklumat tetapi kemerosotan makna.
Plato dan Al-Attas, walaupun datang daripada tradisi dan zaman yang berbeza, tetapi berpegang kepada definisi yang hampir sama. Yang berbeza cuma di penghujungnya sahaja mereka berdua berbeza; Plato kepada pemahaman sebenar di sebalik hijab lima anggota deria (The GOOD) dan Al-Attas kepada Allah swt.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan