[Artikel Asal oleh Ustaz Mohd Nawawi Abdul Razak]
KHURAFAT LOKASI TUHAN
Mendaki Menara Firaun, Memanjat Bukit Darimi
Akibat kemarahan tak terhingga kepada golongan pelampau Jahmiyah dan Muktazilah, sebahagian Ahl Hadith & Hanabilah seringkali tergelincir hingga turut terjerumus menjadi pelampau, dalam versi mereka sendiri. Faktor terbesar ialah kelemahan dalam mengurus hujah dan mengatur kata-kata, ie mereka lemah dalam seni debat dan kalam.
Apabila Jahmiyah dan Muktazilah mengatakan al-Quran itu makhluk, Ahl Hadith / Hanabilah akan melantun dan mengatakan Allah berkata-kata, bahkan dengan mulut تكليما من فيه. Bahkan direka-reka pula sifat baru iaitu Allah Diam السكوت.
Apabila Jahmiyah dan Muktazilah mempertikai istilah Yad atau Tangan Allah, Ahl Hadith / Hanabilah akan meloncat mengatakan Tangan Allah menyentuh Adam a.s مسيسا ketika dia diciptakan, dan Allah menyerahkan Taurat dari Tangan-Nya ke tangan Musa a.s من يده إلى يده.
Apabila Jahmiyah dan Muktazilah mendustakan hadith Nuzul, Ahl Hadith / Hanabilah lantas mencipta konsep الحركة iaitu Allah Bergerak – up and down, backward and forward.
Apabila Jahmiyah dan Muktazilah menafikan sifat Istiwa’, Ahl Hadith / Hanabilah tanpa malu segan mengatakan Allah Duduk الجلوس, duduk pula di atas kerusi, lalu kerusi itu berbunyi الأطيط kerana dihempap oleh Berat Allah الثقل.
Namun paling teruk dan memalukan ialah kata-kata Uthman ad-Darimi dalam kitabnya Naqdh Bishr al-Marisi, dalam usaha melawan kalam Jahmiyah yang mengatakan Allah ada di semua tempat, mengatakan;
رأس الجبل أقرب إلى الله من أسفله
“Puncak bukit lebih hampir dengan Allah, berbanding kawasan bawahnya (kaki bukit).”
Akibat terlalu emosi tatkala berhujah dengan seorang penganut Jahmiyah, ditambah pula dengan lemahnya struktur hujah dan seni kalam, seorang tokoh hadith seperti Uthman ad-Darimi tergamak mengatakan sedemikian, lalu jatuh teruk ke lembah zallah dan dzullah.
Ia tidak lain merupakan cubaan terdesak - namun naqis serba serbi - untuk memberikan reaksi dan respon kontra kepada ajaran Jahmiyah tersebut, hingga menggambarkan bahawa Allah menetap di sebuah lokasi yang ada kordinat, lengkap berlatitud dan longitud. Semata-mata untuk menafikan teori Allah ada di mana-mana. Bagi ad-Darimi, inilah satu-satunya cara untuk menjawab syubhat tersebut. Kesian.
Memanglah puncak bukit atau gunung itu tinggi, dan lebih hampir dengan langit biru berawan komulonimbus yang kita nampak tu. Tapi takkan Allah yang Maha Agung duduk bertenggek di celah-celah awan?
Ini satu ajaran bid’ah dalam aqidah yang tidak pernah diajar oleh Allah dan Rasul, dan tak pernah disebut oleh Sahabat dan Tabi’in.
Bahkan jika melihat pada frasa أقرب إلى الله telah ada Hadith Sahih yang mengatakan saat seorang mu’min berada paling hampir dengan Allah ialah ketika dia sedang bersujud, bukannya ketika berada di atas bukit;
أقرب ما يكون العبد من ربه وهو ساجد فأكثروا الدعاء
Riwayat Muslim, an-Nasa’i, Abu Dawud, Ahmad dan lain-lain.
Bukankah ketika sujud, seorang mu’min meletakkan ke aras paling bawah dan rendah; iaitu tanah tempat sujud? Kenapa Rasulullah mengatakan saat itu dia paling hempir dengan tuhannya?
Sepatutnya – mengikut teori puncak bukit ad-Darimi – dia lebih hampir kepada Allah ketika qiyam, kerana kepalanya lebih tinggi, lebih hampir dengan langit. Bagaimana ahli hadith hebat macam ad-Darimi terlepas pandang perkara ini?
Inilah akibat bila terlalu agresif melawan hujah, namun dhaif dalam hujah dan kalam. Terlalu memusuhi kalam, dan emosional membela agama hingga melahirkan natijah yang tidak masuk aqal dan naqal.
Ada yang cuba membela teori bukit ad-Darimi dengan berdalilkan peristiwa Isra’ dan Mi’raj, bahawa Nabi naik ke langit berjumpa Allah. Sebenarnya Nabi tidak pun berjumpa dan melihat Allah, baginda s.a.w hanya berhenti di Sidrah al-Muntaha di langit ketujuh. Nabi tak naik ke Arasy pun. Macam mana nak jumpa Allah yang jauh mengatasi semua makhluk termasuk Arasy? Langit ketujuh, pohon Sidrah dan Arasy semua masih lagi dalam alam makhluk. Realm of creation. Mi’raj Nabi dari dunia ke langit dunia, dari makhluk ke makhluk.
Allah memanggil hamba-Nya yang salih di dunia sebagai Muqarrabun, sebagaimana malaikat di langit juga dipanggil Muqarrabun;
لَّن يَسْتَنكِفَ الْمَسِيحُ أَن يَكُونَ عَبْدًا لِّلَّهِ وَلَا الْمَلَائِكَةُ الْمُقَرَّبُونَ
إِنَّ اللَّهَ يُبَشِّرُكِ بِكَلِمَةٍ مِّنْهُ اسْمُهُ الْمَسِيحُ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ وَجِيهًا فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَمِنَ الْمُقَرَّبِينَ
Martabat Muqarrab langsung tidak ada kena mengena dengan lokasi manusia dan malaikat. Mereka mendapat Qurbah dan Taqarrub dengan kurniaan Allah dan amalan salih, bukan dengan hiking bukit!
Sebab itulah Nabi ajar banyakkan doa dalam sujud, kerana saat sujud itu saat Taqarrub. Nabi tak ajar buat rumah tinggi-tinggi, panjat bukit atau solat di puncak menara.
Bercakap tentang menara…ada yang tak malu berhujah pula dengan kata-kata Firaun yang menyuruh Haman membina menara tinggi agar dia boleh menjenguk tuhan Musa;
وَقَالَ فِرْعَوْنُ يَا هَامَانُ ابْنِ لِي صَرْحًا لَعَلِّي أَبْلُغُ الْأَسْبَابَ أَسْبَابَ السَّمَاوَاتِ فَأَطَّلِعَ إِلَى إِلَهِ مُوسَى
Mereka katakan inilah akidah sahih yang Musa ajarkan pada Firaun. Really? Nabi Musa ajar Firaun; kalau nak jenguk Allah, binalah menara? Lalu Firaun pun percaya dan buat sebijik menara dan dia pun dapat melihat Allah di celah awan?
Atau Musa mengajar bahawa Allah maha tinggi, mengatasi segala langit dunia, lalu Firaun dengan segala kekufuran dan kejahilan dalam hatinya mengatakan “Aku boleh buat menara yang sangat tinggi sampai aku benar-benar lihat bagaimana rupa tuhan engkau tu.”?
Bukan pelik pun Firaun mengatakan ada tuhan di langit biru, kerana aqidah Mesir Kuno sememangnya beriman dengan Dewa-dewi Langit atau Sky Dieties, seperti dewi Nut dan dewa Horus. Bangsa Greek menyembah Zeus tuhan di langit, bangsa Rom beriman dengan Jupiter dewa angkasa, dan dalam agama Hindu, dewa Brahma bersemayam di langit kayangan bernama Brahmaloka. Nothing new.
Bahkan teori puncak bukit yang dibawa ad-Darimi mengingatkan kita kepada Mount Olympus, sebuah gunung di Greece yang diimani oleh orang Greek sebagai arasy dan tempat istiwa’ dewa dewi mereka.
Namun Islam tidak mengajar konsep tuhan di langit sedemikian. Islam datang membawa aqidah yang besar daripada semua itu; mengesakan Allah dan menyucikan-Nya daripada sebarang unsur makhluk yang serba kekurangan.
Bahkan Allah menempelak cubaan Firaun untuk sampai ke langit, dan mengatakan usaha membina menara itu suatu kesesatan dan amalan yang amat sia-sia;
وَكَذَلِكَ زُيِّنَ لِفِرْعَوْنَ سُوءُ عَمَلِهِ وَصُدَّ عَنِ السَّبِيلِ وَمَا كَيْدُ فِرْعَوْنَ إِلَّا فِي تَبَابٍ
Kalau cara faham Firaun tu betul, tepat seperti ajaran nabi Musa, sepatutnya Allah memujinya dan memberinya taufiq. Masalahnya, Allah mengatakan membina menara tu perbuatan bodoh سوء عمل dan تباب yakni sesat lagi sia-sia.
Jadi ajaran الله في السماء tidak ada kaitan dengan fizikaliti dan lokasi berkordinat. Bukan bermakna Atas tetapi Mengatasi, sama seperti فوق juga. Rujuk tulisan sebelum ini.
Tapi menurut teori Uthman ad-Darimi syaikhul hadith kabir, Firaun di atas menara sememangnya hampir dengan Allah.
Lebih pilu bila ada manusia di abad moden yang percaya dan yakin dengan ajaran bukit Darimi ni, dengan alasan beliau seorang Salaf yang berakidah Ahl Hadith bla bla bla. Maka mustahil dia tersilap. Salaf kot, kata mereka.
Tidak mereka sedar, betapa jutaan manusia yang biasa mendaki bukit bukau dan gunung ganang, menaiki kapalterbang berpuluh, beratus kali, naik ke langit membelah awan…segala roket dan satelit yang naik ke angkasa lepas, hatta Neil Armstrong yang menjejak kaki ke bulan, semua ini tidak boleh dikatakan lebih hampir dengan Allah.
Apatah lagi si Darimi dengan bukitnya.
Berapa ribu para Anbiya’ dan awliya’ yang tidak pernah naik ke langit biru macam kita, namun merekalah yang kaum Muqarrabun, yang hampir dengan Allah bifadhlih?
Berapa ramai pemilik istana dan menara tinggi, yang gah berseri, namun mereka merupakan sekufur-kufur makhluk, yang jauh daripada Allah?
Bumi, sistem suria, galaksi, semuanya berputar dan mengorbit, bukan statik. Dengan kedudukan berubah2 macam mana nak dikatakan puncak bukit lebih dekat dengan Allah…takat naik bukit beberapa ratus meter, atau hatta Everest pun, terlalu kecil dibandingkan dengan saiz universe yang ada.
Ibn al-Mubarak dan Ishaq bin Rahuyah juga antara nama fevret yang sering dijaja dan ditunggang oleh hanabilah ekstrimis, seperti Harb al-Kirmani sebagai sumber akidahnya yang batil. Mungkin kerana reputasi dan prestij yg ada pada mereka.
And guess what…sekali lagi nama Ibn Al-Mubarak terpalit, di mana ad-Darimi berdalilkan kata-kata beliau yang kononnya diriwayatkan oleh Ishaq bin Rahuyah, bahawa puncak menara lebih hampir dengan Allah berbanding kawasan bawahnya;
رأس المنارة أقرب إلى الله من أسفله
Dalam seramai-ramai anak murid Ibn al-Mubarak, hanya Ishaq saja yang riwayatkan qaul ini.
Dalam seramai-ramai anak murid Ishaq pula, hanya Uthman ad-Darimi saja yang nukil tanpa sanad, bahkan tak jelas adakah dia betul-betul riwayat dengan sama’ atau balagh atau sekadar copy paste entah kitab mana.
Too fishy.
Ditambah pula dengan lafaz yang ganjil, bahkan bertentangan dengan hadith sahih tentang Taqarrub dalam sujud, amat sukar untuk mana-mana mu’min yang berakal untuk mempercayai bahawa ia dituturkan oleh tokoh besar Ibn al-Mubarak. Dan kalau ia sahih pun dari Ibn al-Mubarak, kata-kata beliau bukannya Quran yang wajib diimani.
Dan sememangnya Uthman ad-Darimi dan hadith palsu amat sinonim dan tak dapat dipisahkan, khususnya dalam bab seperti ini.
Di dalam kitabnya ar-Radd ‘ala al-Jahmiyah, si Darimi ini langsung tidak malu berdalilkan sebuah riwayat palsu daripada saidina Ali bin Abi Talib yang menyebut lafaz مكان bagi Allah;
خطب علي الناس الخطبة التي لم يخطب بعدها فقال: الحمد لله الذي دنا في علوه وناء في دنوه لا يبلغ شيء مكانه
Seperti kata-kata Ibn al-Mubarak di atas, kata-kata Ali ini juga hanya dijumpai dalam buku-buku karangan ad-Darimi, tidak dijumpai dan diriwayatkan oleh orang lain dalam dunia ini selain beliau seorang. Kalau riwayat palsu yang menunggang nama sahabat Nabi pun dipakai, apatah lagi riwayat palsu yang menunggang ulama yang terkebelakang seperti Ibn al-Mubarak.
Justeru dinasihatkan agar kita mengambil pendekatan sederhana yang seimbang, meraikan aqal dan naqal, yang selari dengan penggunaan bahasa yang muktabar, dan memahirkan diri dengan seni berhujah, agar kita tidak tergelincir ke lembah yang sama tergelincirnya Uthman ad-Darimi yang menyangka Allah wujud di suatu lokasi, yang zat-Nya boleh dihampiri di atas bukit, kondominium dan menara tinggi. Niat memang baik, tapi cara tak kena. رحمه الله وغفر له

Tiada ulasan:
Catat Ulasan